Apa Itu Umrah: Pengenalan, Syarat, Rukun & Wajib

Ibadat haji dan umrah merupakan satu rukun daripada rukun Islam yang lima dan ianya menjadi kemuncak penzahiran ubudiyyah seorang hamba kepada Tuhan-Nya. Hari ini kami ingin berkongsi mengenai apa itu Umrah dan menerangkan dari sudut maksud, syarat rukun dan wajib.

Sejarah ibadat ini bermula daripada Nabi Muhammad SAW yang ingin melakukan ibadat haji untuk kali pertama. Pada tahun ke-6 Hijrah, Baginda bersama 1500 para sahabat ingin melakukan ibadat haji di Makkah.

Mereka berangkat ke Makkah dengan berpakaian ihram dan membawa unta untuk dijadikan sebagai haiwan korban.

Perjanjian Hudaibiyah apa itu umrah

Akan tetapi, perjalanan ibadat mereka tidak berhasil kerana Nabi dan para sahabat dihalang oleh kaum Quraisy di Hudaibiyah. Tempat inilah yang menjadi saksi perundingan di antara Nabi dan kaum Quraisy yang dikenali sebagai ‘Perjanjian Hudaibiyah’.

Oleh itu, apakah maksud umrah serta hukum dan dalil yang menggariskan tentang kewajipan menunaikan umrah ini?

Apa Itu Umrah dari Segi Pengertian

Umrah dari segi bahasa ialah ziarah. Dari segi syara’ pula bermaksud menziarahi Baitullah al-Haram pada bila-bila masa untuk melaksanakan ibadat tertentu dengan syarat-syarat yang tertentu.

Umrah juga dikenali sebagai ‘Haji Kecil’. Namun begitu, ada masanya kita tidak boleh menunaikan umrah iaitu masa menunaikan haji. Hukum mengerjakan umrah ialah wajib sekali seumur hidup apabila telah memenuhi syarat-syaratnya.

Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 196 yang bermaksud:

“Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah”.

Apakah pula syarat-syarat wajib Umrah?

Islam telah menggariskan lima syarat wajib umrah. Antaranya ialah beragama Islam, baligh, berakal, merdeka dan berkemampuan (istito’ah).

Seperti yang kita ketahui, mengerjakan haji dan umrah bagi yang berkemampuan merupakan Rukun Islam yang kelima.

Syarat Wajib Umrah

Hal ini bermaksud umrah merupakan salah satu kegiatan agama Islam yang disarankan kepada Muslim yang “mampu”.

Berkemampuan yang dimaksudkan disini terdiri daripada dua kategori iaitu berkemampuan pada diri sendiri dan berkemampuan dengan bantuan daripada orang lain.

Berkemampuan pada diri sendiri seperti cukup perbelanjaan dan nafkah tanggungan, sihat tubuh badan dan lain-lain.

Manakala, berkemampuan dengan bantuan daripada orang lain pula seperti sakit yang tiada harapan untuk sembuh, terlalu tua/uzur serta meninggal dunia dan mampu mengerjakan umrah semasa hayatnya.

Berapakah Rukun Umrah Yang Telah Digariskan Oleh Islam?

Rukun umrah yang digariskan dalam Islam ada lima.

Pertama, niat ihram umrah. Lafaz niat adalah seperti berikut: “Sahaja aku menunaikan umrah dan berihram dengannya kerana Allah Taala”.

Kedua, tawaf umrah. Tawaf bermaksud mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali pusingan bermula dari sudut Hajarul Aswad.

Terdapat beberapa syarat sah tawaf seperti menutup aurat, suci daripada hadas besar dan kecil, mengekalkan niat tawaf, cukup tujuh pusingan dengan yakin dan sebagainya.

Ketiga, sa’ie umrah. Sa’ie memberi maksud berjalan ulang-alik atau berlari-lari anak di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah sebanyak tujuh kali.

Perbuatan sa’ie juga mempunyai syarat sah seperti bermula dari Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah, cukup tujuh kali ulang-alik dengan yakin, hendaklah dilakukan ditempat yang disediakan dan lain-lain lagi.

Keempat, bergunting atau bercukur. Dalam rukun ini, hendaklah kita menanggalkan sekurang-kurangnya tiga helai rambut. Disunatkan kepada jemaaah lelaki untuk bercukur.

Perbuatan ini hendaklah dilakukan setelah selesai tawaf dan sa’ie umrah.

Kelima dan akhir sekali, tertib. Iaitu mengerjakan rukun-rukun umrah mengikut susunan bermula daripada niat, tawaf, sa’ie, bercukur atau bergunting.

Rukun Umrah

Untuk pengetahuan, rukun umrah merupakan perkara asas yang mesti ditunaikan oleh orang yang melaksanakan asasi umrah.

Jika tidak ditunaikan sama ada sengaja ataupun tidak maka tidak sah umrah tersebut.

Apa Itu Wajib Umrah

Wajib umrah pula mempunyai dua perkara iaitu berniat ihram di Miqatdan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang semasa ihram.

Apa Itu Wajib Umrah

Miqat bermaksud sempadan bagi ibadat haji ataupun umrah. Sekiranya berniat melepasi Miqat, kita dikehendaki untuk membayar dam iaitu denda.

Terdapat tiga belas larangan ihram yang wajib kita ketahui antaranya dilarang membunuh binatang, dilarang merosakkan tanam-tanaman, dilarang memotong kuku dan lain-lain lagi.

Apakah pula perbezaan di antara rukun dan wajib umrah?

Sebagai pengetahuan, rukun umrah merupakan perkara asas yang mesti ditunaikan oleh orang yang melaksanakan asasi umrah. Jika tidak ditunaikan sama ada sengaja ataupun tidak maka tidak sah umrah tersebut manakala wajib umrah ialah perkara yang wajib dilakukan semasa menunaikan umrah.

Sekiranya tidak dilaksanakan dengan sengaja, sah umrah akan tetapi berdosa. Sekiranya tidak sengaja, ianya tidak berdosa akan tetapi wajib untuk membayar dam mengikut kadar yang ditetapkan.

Apa Itu Umrah? Fahami Umrah Sebagai Persediaan Awal

Kesimpulannya, terdapat banyak kelebihan menunaikan umrah ini. Antaranya, mendapat status ‘tetamu Allah s.w.t’, doa-doa akan dimakbulkan, dapat menghayati sirah Nabi serta hubungan sesama umat Islam akan terjalin dengan lebih erat. Semoga perkongsian maksud dan pengertian apa itu umrah dapat memberi manfaat kepada pembaca dan juga bakal jemaah yang akan menunaikan ibadat Umrah.

3 thoughts on “Apa Itu Umrah: Pengenalan, Syarat, Rukun & Wajib”

  1. Alhamdulillah, seronok dapat baca artikel ini. Belum di rezekikan untuk ke rumah Allah. Moga satu hari nanti dapat jejakkan ke sini bersama keluarga.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

DAFTAR HAJI 1445H / 2024

DAFTAR UMRAH

Pilihan Pakej