Cara Mengerjakan Umrah – Bimbingan Khas Mustaqim Travel

Dua ibadah yang diimpikan umat islam seluruh dunia adalah ibadah Umrah dan Haji. Di sebalik rukun umrah, terselit juga ibadah lain yang perlu dilakukan semasa masih dalam ihram.

Sebelum anda ke sana, anda perlu bersiap sedia dan tahu cara mengerjakan umrah yang betul agar umrah anda menjadi satu ibadah yang diterima Allah SWT.

Pengertian Umrah

Umrah yang mabrur adalah satu kemanisan dalam ibadah yang para jemaah cuba kecapi. Umrah merupakan salah satu ibadah orang muslim untuk menziarahi kota suci Mekah.

Umrah bermaksud mengunjungi Baitullah di Mekah dan melakukan niat ihram, tawaf, saie, bertahalul dan mengikut tertib.

Firman Allah SWT:

Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah SWT

Surah Al Baqarah, Ayat 196

Secara umum, umrah bermaksud satu perjalanan ataupun ziarah ke Baitullah untuk mengerjakan ibadah umrah dengan niat dan syarat-syarat yang tertentu.

Cara-Mengerjakan-Umrah

Cara Mengerjakan Umrah Mengikut Tertib – Persiapan sebelum mengerjakan umrah

Bagi anda yang baru pertama kali menunaikan umrah, pastinya anda ingin mengetahui apakah persediaan menunaikan umrah yang perlu dilakukan sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan sebelum menunaikan ibadah Umrah. Para jemaah disunatkan membuat persiapan terakhir sebelum berniat ihram dan mengerjakan umrah.

Antara persiapan cara mengerjakan umrah yang boleh dilakukan adalah:

  1. Memotong kuku, merapikan janggut, misai dan rambut.
  2. Mandi sunat ihram.
  3. Mengambil wudhu’.
  4. Memakai pakaian ihram selepas mandi sunat ihram.
  5. Solat sunat ihram.

Syarat dan Rukun Umrah

Islam menggariskan 5 rukun semasa anda mengerjakan umrah. Antara rukun umrah adalah:

1. Niat Ihram

Secara asasnya, perkara utama dan harus diberi perhatian semasa mengerjakan umrah ialah niat.

Niat mengerjakan umrah adalah ikhlas semata-mata kerana Allah S.W.T. Jika anda terlupa untuk niat secara sengaja ataupun tidak, maka, umrah ada dikira tidak sah.

Lafaz niat umrah:

نَوَيْتُ العُمْرَةَ وَأَحْرَمْتُ بِهَا لله تَعَالَى

Maksudnya: “Sahaja aku berniat umrah dan berihram dengannya kerana Allah Taala”.

Selepas berniat ihram, para jemaah hendaklah meninggalkan perbuatan yang haram dan disunatkan untuk perbanyakkan bertalbiah.

Talbiyyah bagi umrah sunat dilafazkan bermula selepas niat dan tamat apabila jemaah ingin memulakan tawaf.

Lafaz talbiyyah adalah seperti berikut:

لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ، إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ

Maksudnya: Aku datang memenuhi panggilanMu ya Allah. Aku datang memenuhi panggilan-Mu. Aku datang memenuhi panggilan-Mu. Tiada sekutu bagi-Mu. Aku datang memenuhi panggilanMu. Sungguh, segala puji, nikmat, dan segala kekuasaan adalah milik-Mu. Tiada sekutu bagi-Mu.

2. Tawaf

Tawaf bermaksud mengelilingi kaabah 7 kali pusingan dengan syarat-syarat tertentu.

Para jemaah juga disunatkan untuk membaca doa ketika melihat Kaabah.

Lafaz niat tawaf umrah:

آللَّهُمَّ إِنِّى أُرِيدٌ طَوَفَ بَيْتِكَ الْحَرَامِ سَبْعَةَ أَشْوَاطٍ طَوَافَ الْعُمْرَةِ لِلَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Sahaja aku berniat tawaf umrah di Kaabah ini tujuh pusingan kerana Allah Taala”.

Tawaf mempunyai syarat yang wajib dilakukan semasa menunaikan umrah. Antara syarat-syarat tawaf adalah:

  1. Menutup aurat.
  2. Suci daripada berhadas.
  3. Suci daripada najis pada pakaian, badan dan tempat tawaf.
  4. Tawaf bermula pada sudut Hajarul Aswad.
  5. Semasa tawaf, Kaabah hendaklah berada disebelah bahu kiri jemaah.
  6. Berjalan mengelilingi Baitullah dengan tujuan tawaf disertakan niat ibadah.
  7. Cukup 7 kali keliling dengan yakin.
  8. Dilakukan di dalam masjid dan di luar dari bahagian Kaabah.

Setelah selesai tawaf, tunaikan solat sunat 2 rakaat di belakang Maqam Ibrahim.

Lafaz niat solat sunat tawaf:

Maksudnya: “Sahaja aku solat sunat Tawaf dua rakaat kerana Allah Taala.”

* Rakaat pertama : selepas al-Fatihah, baca surah al-Kafirun.

* Rakaat kedua : selepas al-Fatihah, baca surah al-Ikhlas.

Setelah selesai solat sunat tawaf, disunatkan untuk berdoa di belakang Maqam Ibrahim.

Kemudian, disunatkan untuk keluar melalui Pintu Safa sebelum mengerjakan sai’e.

3. Sai’e

Sai’e bermaksud berlari anak ataupun berjalan ulang alik di antara Bukit Safa dengan Marwah sebanyak 7 kali pusingan.

Sai’e dilakukan apabila selesai mengerjakan tawaf dengan sempurna dan memenuhi syarat-syarat sah tawaf.

Sai’e juga mempunyai syarat wajib semasa menunaikan umrah. Antara syarat-syarat sai’e adalah:

  1. Hendaklah dilakukan selepas Tawaf.
  2. Sai’e bermula dari bukit Safa dan berakhir di bukit Marwah.
  3. Dilakukan sebanyak tujuh kali dengan sempurna.
  4. Sai’e dilakukan dengan niat ibadah dan mengekalkannya sepanjang masa melakukan sai’e.
  5. Sai’e di tempat yang ditentukan.

Ingat, perjalanan mengerjakan sai’e tidak boleh terputus. Ia bermaksud seseorang yang sedang melakukan sai’e tidak boleh keluar melalui satu pintu dan masuk semula melalui pintu lain.

4. Tahallul

Tahallul bermaksud bercukur atau bergunting. Perbuatan ini dilakukan selepas selesai melakukan sai’e.

Apa tujuan tahallul? Ia bertujuan untuk melepaskan diri daripada pantang larang semasa ihram.

Jemaah hendaklah menggunting sekurang-kurangnya tiga helai rambut. Bagi lelaki, afdal untuk bercukur kesemua rambut.

Bagi jemaah yang botak, sunat melalukan mata pisau di atas kepala. Selepas siap bercukur, maka anda terlepas daripada pantang larang dalam ihram umrah.

5. Tertib

Dalam mengerjakan umrah, anda harus mengerjakan syarat-syarat umrah mengikut tertib yang mana bermula dari niat sehinggalah bercukur.

Jika meninggalkan ataupun terlupa tertib rukun umrah, maka umrah dikira tidak sah.

Wajib Umrah

Wajib umrah adalah perkara yang mesti dilakukan oleh jemaah umrah.

Jika perkara wajib ini sengaja ditinggalkan, hukumnya adalah berdosa dan dikenakan dam. Jika tidak disengajakan, hukumnya tidak berdosa tetapi masih dikenakan dam.

Berikut merupakan perkara-perkara wajib umrah:

  1.  Niat Ihram di Miqat.
  2. Menjaga pantang larang ketika ihram.

1. Niat Ihram di Miqat

Miqat terbahagi kepada dua iaitu Miqat Zamani dan Miqat Makani:

  • Miqat Zamani

Miqat zamani bagi mengerjakan umrah ialah sepanjang tahun. Selain daripada masa berihram haji.

  • Miqat Makani

Miqat Makani merupakan sempadan terakhir bagi seseorang jemaah dari luar kota Mekah berniat ihram umrah atau haji.

Lokasi ini ditentukan mengikut arah jemaah umrah atau haji datang dan masuk ke Tanah Suci.

Antara tempat-tempat miqat adalah:

1. Yalamlam

Lokasi miqat untuk jemaah yang datang dari arah Yaman dan Asia.

2. Bir Ali atau Zul Hulaifah

Lokasi miqat bagi jemaah yang datang dari arah Madinah dengan menaiki bas, kereta dan sebagainya.

3. Al-Juhfah

Lokasi miqat bagi jemaah yang datang dari arah Mesir, Syam, Tunisia, Jordan, Lubnan, Palestin dan sebagainya.

4. Zatu Irqin

Lokasi miqat bagi jemaah yang datang dari arah Iraq dan sama arah dengannya.

5. Qarnul Manazil

Lokasi bagi jemaah yang datang dari arah Najd, Kuwait dan jemaah Malaysia. Lokasi ini juga bagi jemaah Asia Tenggara yang datang dengan menaiki kapal terbang.

2. Menjaga pantang larang ketika ihram

Ihram merupakan satu daripada perkara wajib haji atau wajib umrah.

Secara umumnya, larangan semasa mengerjakan ihram terbahagi kepada 4 iaitu pakaian, kecantikan, alam sekitar dan perhubungan.

Jadi, para jemaah perlu mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang semasa ihram agar ibadah umrah diterima Allah S.W.T.

Larangan Semasa Berihram – Cara Mengerjakan Umrah Yang Betul

Larangan bagi seseorang yang mengerjakan haji atau umrah setelah berihram adalah seperti berikut (bagi jemaah lelaki):

  1. Memakai pakaian yang berjahit, menyelubungi badan (bercantum) seperti seluar, kain sarung dan jubah
  2. Menyapu minyak rambut di kepala
  3. Menutup kepala
  4. Memakai alas kaki yang menutupi seluruh kaki seperti kasut tetapi DIBOLEHKAN memakai selipar, sendal dan capal.
  5. Menyarung sarung tangan
  6. Memakai bau-bauan atau wangi-wangian
  7. Memotong kuku dengan cara apa sekalipun
  8. Bercukur, gunting rambut, mencabut bulu badan
  9. Memburu atau membunuh binatang darat yang halal dimakan
  10. Melakukan perkara-perkara yang menaikkan syahwat.
  11. Melakukan persetubuhan, berjimak atau mengadakan hubungan seks
  12. Menebang atau memotong pokok, mencabut tumbuh-tumbuhan di Tanah Haram
  13. Bernikah dan menjadi wali.

Larangan bagi jemaah perempuan:

  1. Menyarung sarung tangan
  2. Memakai bau-bauan atau wangi-wangian
  3. Memotong kuku dengan cara apa sekalipun
  4. Bercukur, gunting rambut, mencabut bulu badan
  5. Memburu atau membunuh binatang darat yang halal dimakan
  6. Melakukan perkara-perkara yang menaikkan syahwat.
  7. Melakukan persetubuhan, berjimak atau mengadakan hubungan seks
  8. Menebang atau memotong pokok, mencabut tumbuh-tumbuhan di Tanah Haram
  9. Bernikah.

Cara Mengerjakan Umrah – Tawaf Wida’ (Jika Diizinkan)

Tawaf wida’ adalah tawaf ucap selamat tinggal sebelum keluar meninggalkan kota suci Mekah lebih daripada 2 marhalah dengan mengikuti syarat-syarat yang tertentu.

Lafaz niat tawaf wida’:

“Sahaja aku tawaf wada’ tujuh keliling kerana Allah Taala”.

Tawaf wida’ berbeza dengan tawaf umrah, iaitu memakai pakaian biasa yang menutup aurat, tidak perlu pakaian ihram, tidak perlu keluar ke Miqat dan lain-lain.

Tawaf wida’ ini dilakukan selepas selesai urusan membeli-belah dan bersiap sedia untuk pulang ke tanah air.

Dan syarat wajib bagi tawaf itu ada 8:

  • Menutup aurat
  • Suci daripada hadas besar dan hadas kecil
  • Suci dirinya serta pakaian dan tempat tawafnya daripada najis
  • Mengelilingi Kaabah dengan menjadikan Kaabah dipihak sebelah kiri
  • Dimulai di Hajar Al-Aswad
  • Hendaklah mengadap Hajar Al-Aswad disamping melakukan niat tawaf (dan tidak memesongkan niat Tawaf)
  • Mengelilingi Kaabah sebanyak 7 kali
  • Tawafnya didalam kawasan Masjidil Haram (termasuklah luar Kaabah, luar Syazarwan)

Moga dengan perkongsian ini, dapat memberi kefahaman berkaitan dengan rukun umrah kepada para jemaah. Moga dengan perkongsian ini, dapat memberi kefahaman berkaitan dengan rukun umrah kepada para jemaah. Kami juga ada kongsikan tips untuk mendapatkan umrah mabrur. Boleh baca di sini.

Anda berhasrat untuk mengerjakan umrah? Adakah anda mencari travel agency untuk membawa anda ke sana? Daftarkan diri anda dengan Mustaqim Travel & Tours.

Jadikan Mustaqim Travel sebagai pilihan anda.

Kami menyediakan pakej umrah terbaik dengan harga yang rendah bermula RM6,788.

Setiap perjalanan dan pergerakan telah kami aturkan khas untuk anda. Kami menyediakan tiket penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Madinah.

Selain itu, pengurusan visa umrah akan diuruskan sepenuhnya oleh ejen berpengalaman. Hotel 5 bintang atau setaraf disediakan khas untuk anda.

Pakej ini juga termasuk dengan insurans dan perlindungan takaful untuk keselamatan para jemaah.

3 thoughts on “Cara Mengerjakan Umrah – Bimbingan Khas Mustaqim Travel”

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

DAFTAR HAJI 1445H / 2024

DAFTAR UMRAH

Pilihan Pakej