20 Tips Persediaan Umrah Anda Wajib Tahu (Versi Wanita)

Persediaan yang rapi adalah kunci kepada perjalanan ibadah yang lancar dan tenang. Berikut adalah 20 perkara penting persediaan umrah yang perlu anda titikberatkan sebelum menjejakkan kaki ke Makkah dan Madinah.

persediaan umrah

1. Ambil Vitamin C

Dua bulan sebelum tarikh penerbangan, mulakanlah mengambil Vitamin C secara konsisten. Ini sangat penting untuk menguatkan sistem imunisasi badan kita. Di Tanah Suci nanti, kita akan bertemu dengan jutaan manusia dari seluruh pelusuk dunia. Masing-masing membawa persekitaran dan antibodi yang berbeza. Semasa umrah pertama, saya tak buat persediaan ini dan akhirnya saya demam panas di Makkah. Jadi, untuk mengelakkan jatuh sakit, jagalah kesihatan dari awal.

2. Belajar Solat Jenazah

Ini mungkin nampak remeh, tapi percayalah, ia sangat penting. Di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, solat jenazah akan didirikan selepas hampir setiap solat fardhu. Semasa kali pertama pergi, saya agak terpinga-pinga. Imam dah bagi salam, tapi kenapa orang tak bangun? Rupa-rupanya ada solat jenazah. Jadi, belajarlah niat dan cara solat jenazah ghaib yang betul supaya kita tidak terlepas peluang merebut pahala yang sangat besar ini.

persediaan umrah cara solat jenazah
Rujukan : Tabung Haji

3. Untuk Wanita Catat Tarikh Period Anda

Khusus untuk kaum Hawa, ini adalah antara perkara terpenting. Sebaik sahaja anda tahu tarikh perjalanan umrah, terus semak dan catat kitaran haid anda. Rancang betul-betul. Jika tarikh umrah anda dijangka bertindih dengan tarikh haid, segeralah berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat dan ubat penahan haid (seperti Sonolut). Jangan tangguh-tangguh, dapatkan nasihat pakar perubatan.

4. Ambil Vaksin Meningitis & Influenza

Vaksin Meningitis (ACYW-135) adalah suntikan wajib untuk memohon visa umrah. Selain itu, saya sangat-sangat menggalakkan anda untuk mengambil suntikan vaksin Influenza. Seperti yang saya sebutkan tadi, kita akan berada dalam lautan manusia. Vaksin ini adalah ikhtiar kita untuk melindungi diri daripada selesema dan jangkitan lain yang mudah berjangkit. Kewajipan vaksin tertakluk kepada kerajaan Arab Saudi.

Rujukan : Klinik Dr. Zain

5. Sediakan Bajet untuk Dobi

Percayalah, anda tidak mahu membawa terlalu banyak pakaian. Luggage anda nanti nak diisi dengan buah tangan dan barangan lain. Sebaiknya, bawa pakaian yang terhad dan sediakan bajet untuk dobi. Di Makkah, caj dobi dikira mengikut helai. Sepasang jubah boleh mencecah 17 Riyal! Tudung pula sekitar 8 Riyal. Di Madinah, ada kedai yang mengira ikut timbang (kg), yang mungkin lebih murah. Jadi, rancang bajet anda untuk ini.

6. Bawa Hanger Sendiri

Hanger di hotel selalunya tidak mencukupi, lebih-lebih lagi jika anda berkongsi bilik berempat. Bawa beberapa hanger lipat (travel hanger) dari rumah. Ia sangat ringan, kecil, dan tidak memakan ruang dalam luggage. Anda boleh dapatkannya dengan mudah dan murah di Shopee atau kedai-kedai seperti Mr. DIY. Sangat berguna untuk menyidai tuala, telekung, atau pakaian yang dibasuh.

7. Bawa Ubatan Penting

Selain ubat-ubatan peribadi yang telah dipreskripsi oleh doktor, bawa juga ubat-ubatan asas seperti Panadol, ubat selesema, ubat sakit perut, minyak angin, dan sebagainya. Ubat-ubatan di sana agak mahal. Sepapan Panadol boleh mencecah 17 Riyal. Jadi, lebih baik sediakan dari Malaysia.

8. Untuk Wanita Bawa Tuala Wanita (Pad) / Panty Liner Secukupnya

Satu lagi tips khas untuk wanita. Bawalah bekalan tuala wanita dari Malaysia secukupnya. Jenama dan jenis tuala wanita di sana sangat berbeza. Saiznya agak besar, tebal, dan mungkin tidak selesa untuk sesetengah orang. Untuk keselesaan sepanjang beribadah, lebih baik gunakan jenama yang sudah serasi dengan anda.

9. Bawa Adapter Antarabangsa & Plug Sambungan (Extension)

Soket plug di hotel-hotel Arab Saudi mungkin berbeza. Ada yang menggunakan plug 3-pin seperti di Malaysia, tetapi banyak juga yang menggunakan plug 2-pin. Untuk selamat, bawalah satu international adapter. Selain itu, jangan lupa bawa plug sambungan (extension cord). Apabila berkongsi bilik, akan ada banyak gajet yang perlu dicas serentak – telefon, power bank, kamera. Dengan satu extension, semua orang boleh cas peranti masing-masing tanpa perlu berebut.

persediaan umrah - adapter

10. Bawa Niqab (Purdah)

Walaupun anda tidak biasa memakainya, niqab sangat praktikal di sana. Ia bukan sahaja untuk menutup muka, tetapi sangat membantu untuk melindungi wajah daripada cuaca panas yang kering dan menyengat, serta habuk dan pasir. Ia juga dapat mengelakkan kulit muka menjadi kering.

11. Pakai Kasut yang Selesa

Anda akan banyak berjalan – dari hotel ke masjid, semasa tawaf, dan sa’i. Pilihlah kasut yang paling selesa, seperti kasut sukan atau sneakers. Lupakan hasrat nak bergaya dengan kasut tumit tinggi. Keselesaan kaki adalah keutamaan. Untuk tawaf dan sa’i, anda juga boleh gunakan stokin tawaf anti-gelincir yang banyak dijual.

12. Tak Perlu Bawa Banyak Telekung

Cukup bawa satu atau dua pasang telekung sahaja. Pakaian harian kita seperti jubah atau abaya selalunya sudah menepati syarak dan sah dibawa solat. Memakai pakaian harian untuk solat adalah lebih praktikal dan menjimatkan masa serta ruang beg.

13. Bawa Tudung Sarung Sahaja

Ini tips penyelamat! Saya sarankan bawa tudung sarung sahaja. Kenapa? Bayangkan anda perlu mengambil wuduk di tempat wuduk yang berada di luar masjid. Di sana, tiada cermin dan tempat untuk menggantung tudung. Sangat sukar untuk memakai semula tudung lilit atau bawal dengan kemas dalam keadaan begitu. Dengan tudung sarung, “zasss!” terus siap. Mudah dan cepat.

14. Bawa Botol Spray untuk Wuduk

Botol spray kecil ini sangat berguna untuk mengambil atau memperbaharui wuduk, terutamanya jika anda berada jauh dari tempat wuduk atau ketika waktu sesak. Isikan dengan air Zamzam. Ia juga boleh digunakan untuk menyegarkan muka ketika cuaca panas.

15. Bawa Botol Air Sendiri

Sentiasa bawa botol air kosong. Anda boleh isikannya dengan air Zamzam yang disediakan percuma di mana-mana sahaja di dalam Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Ini penting untuk memastikan anda sentiasa terhidrasi.

16. Pakai Pakaian Umrah Terus Dari Rumah

Bagi jemaah yang terbang terus ke Jeddah dan akan mengerjakan umrah sejurus tiba, tidak perlu memakai pakaian ihram (telekung putih) dari KLIA lagi. Pakai sahaja pakaian biasa yang selesa dan menutup aurat. Anda akan dibawa ke hotel terlebih dahulu untuk berehat dan bersiap. Di sanalah anda boleh mandi dan menukar kepada pakaian ihram yang bersih sebelum ke Masjidil Haram. Ini lebih selesa memandangkan perjalanan yang memakan masa berbelas-belas jam.

17. Pilih Antara Roaming atau Beli Simkad Tempatan

Anda ada dua pilihan untuk talian telefon. Pilihan pertama adalah membeli simkad tempatan. Namun, berdasarkan pengalaman saya, ada risiko ditipu. Saya pernah minta pakej 50 Riyal tetapi hanya dapat 20 Riyal. Pilihan kedua, yang saya lebih syorkan, adalah melanggan pakej roaming dari syarikat telekomunikasi anda di Malaysia. Contohnya, CelcomDigi menawarkan pakej umrah RM98 untuk 14 hari dengan data 3GB dan internet tanpa had. Kelebihannya, anda boleh membuat panggilan video melalui WhatsApp, yang selalunya disekat jika menggunakan simkad tempatan.

persediaan umrah sim kad

18. Aktifkan Transaksi Antarabangsa untuk Kad Bank Anda

Sebelum berangkat, hubungi bank anda untuk mengaktifkan kad debit atau kredit bagi kegunaan antarabangsa. Beritahu mereka tarikh anda akan berada di luar negara. Ini penting jika anda bercadang untuk mengeluarkan wang tunai dari ATM di sana atau membuat pembayaran menggunakan kad.

19. Jika Mahu Bawa Beg Sendiri, Pilih yang Unik

Kebanyakan agensi akan menyediakan beg seragam. Tetapi jika anda lebih selesa dengan beg sendiri, pastikan anda memilih beg yang mempunyai warna atau corak yang menonjol dan mudah dicam. Contohnya, saya pernah bawa beg bercorak askar. Ini memudahkan rakan-rakan jemaah lain untuk mengecam beg anda di lautan beg yang banyak di lapangan terbang.

20. Amalan Baik & Fikiran Positif Sebelum Pergi

Akhir sekali, dan yang paling penting, adalah persediaan rohani. Perbanyakkan solat sunat taubat dan solat hajat. Buang segala fikiran negatif. Jangan terlalu mendengar cerita-cerita “balasan di Tanah Suci” yang menakutkan. Itu semua boleh menjadi penghalang dan membuatkan kita was-was. Pergi dengan hati yang bersih, niat yang ikhlas untuk beribadah dan memohon keampunan. Sentiasa bersangka baik (husnuzon) dengan Allah. Insya-Allah, segalanya akan dipermudahkan.


Rancang Perjalanan Ibadah Tanpa Ragu – Ragu !

Bayangkan anda melangkah keluar dari hotel terus ke Masjidil Haram—semuanya mudah dengan pakej umrah safwah dari Mustaqim Travel. Kami menyediakan:

✈️ Penerbangan terus tanpa transit ke Tanah Suci.
📚 Modul bimbingan khas bersama Mutawwif berpengalaman.
🏨 Penginapan Safwah premium berhampiran Masjidil Haram.
🚑 Kad perubatan untuk akses kesihatan yang lebih selesa.
🌟 Harga berbaloi untuk pengalaman yang tak ternilai.

Jangan lepaskan peluang untuk jadikan Umrah anda pengalaman terbaik! Klik di sini dan tempah tempat anda sekarang. ✨ Rebut promosi istimewa sebelum penuh!

2 thoughts on “20 Tips Persediaan Umrah Anda Wajib Tahu (Versi Wanita)”

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

DAFTAR UMRAH

Pilihan Pakej