Madinah Al-Munawwarah, Kota Suci kedua bagi umat islam dan menyimpan pelbagai sejarah di dalam nya sejak ribuan tahun. Bagi setiap jemaah yang berpeluang menjejakkan kaki ke bumi anbiya ini, samada mengerjakan Umrah atau Haji pasti akan melakukan ziarah Madinah di tempat-tempat bersejarah.
Satu pengalaman yang amat bermakna, mengukuhkan iman dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Berikut beberapa tempat ziarah penting di Madinah yang perlu anda ketahui:
1. Masjid Nabawi: Pusat Ibadah dan Rohaniah
Tempat ziarah paling penting adalah Masjid Nabawi. Masjid Nabawi merupakan masjid kedua terpenting selepas Masjidil Haram di Makkah. Disini lah tersimpan nya jasad insan yang paling kita cintai, Nabi Muhammad SAW.
Keluasan Masjid Nabawi boleh menampung sekitar 2 juta jemaah pada satu-satu masa dan mempunyai 43 pintu masuk dari pelbagai arah.

Di dalam Masjid Nabawi, terdapat beberapa tempat yang sangat istimewa, antaranya ialah:
Raudhah
Satu kawasan yang terletak antara mimbar dan makam Rasulullah SAW. Ia dianggap sebagai salah satu tempat yang paling mustajab untuk berdoa. Keistimewaan tempat ini menjadikan ia sering dipenuhi jemaah, maka bersabarlah untuk mendapatkan peluang berdoa di sini. Terkini, bagi jemaah yang ingin memasuki Raudhah, mereka perlu mendaftarkan diri menggunakan aplikasi Nusuk sebelum mendapat tarikh dan masa lawatan.
Makam Rasulullah SAW, Abu Bakar As-Siddiq RA, dan Umar Al-Khattab RA
Disinilah terdapat makam Nabi Muhammad SAW dan 2 lagi sahabat baginda. Tidak sama seperti Raudhah, makam baginda hanya boleh dilawati oleh jemaah lelaki sahaja. Ini adalah syarat yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi. Bagi jemaah wanita, yang paling hampir mereka boleh berada dekat dengan makan nabi adalah semasa berada di raudhah.
Mimbar Nabi
Mimbar yang digunakan Rasulullah SAW untuk menyampaikan khutbah Jumaat. Melihat mimbar ini sahaja sudah cukup memberikan satu perasaan yang mendalam tentang sejarah Islam.
2. Masjid Quba: Masjid Pertama Dalam Islam
Tempat ziarah kedua ialah Masjid Quba terletak kira-kira 5 kilometer dari Masjid Nabawi. Kebanyakan jemaah akan kesini samada berjalan kaki, menaiki teksi atau yang terkini dengan menaiki Buggy.
Ia merupakan masjid pertama yang dibina dalam Islam oleh Nabi Muhammad SAW sendiri, sebaik sahaja baginda hijrah ke Madinah. Menziarahi Masjid Quba akan membawa kita menelusuri sejarah awal perkembangan islam.

3. Jabal Uhud dan Medan Perang Uhud
Jabal yang bermaksud bukit, menyendiri kerana tidak tersambung dengan bukit-bukit lain. Ia menyimpan sejarah penting dalam Islam kerana menjadi saksi perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat dalam menyebarkan ajaran Islam.
Jabal Uhud mempunyai panjang kira-kira 7 kilometer dan lebar sekitar 2-3 kilometer. Ketinggina gunung ini mencecah 3,533 kaki (1,077 meter).
Bukit ini menjadi saksi dimana terjadinya perang Uhud yang melibatkan antara kaum muslim dengan kaum kafir Quraisy. Perang Uhud terjadi pada tahun ke-3 Hijrah, dan merupakan perang ‘luar kota’.
Perang Uhud awalnya melibatkan pasukan muslim sekitar 1,000 orang tetapi 300 daripadanya mengundurkan diri dan kembali ke Madinah. Maka, sejumlah 700 orang muslim melawan pasukan kafir sebanyak 3000 orang. Dalam pertempuran tersebut, sebanyak 70 orang muslimin gugur syahid. Bukit Uhud adalah salah satu dari gunung-gunung di syurga.
Dalam peperangan itu tentera Islam mengalami kekalahan kerana pasukan yang berkubu di Bukit Uhud melanggar arahan Baginda Rasulullah supaya tidak meninggalkan tempat masing-masing mengakibatkan 70 pejuang Islam mati syahid pada Syawal Tahun Ketiga Hijrah termasuk bapa saudara Rasulullah, Saidina Hamzah Abdul Mutalib di Lembah Bukit Uhud, Madinah, Arab Saudi.


4. Bukit Pemanah
Bukit kecil ini terletak disebelah Gunung Uhud. Semasa perang uhud, Nabi Muhammad ﷺ meletakkan 50 orang pemanah terhebat bagi menghalang orang musyrikin daripada menyerang orang mukmin dari belakang.
Namun, apabila para pemanah melihat kemunduran orang musyrikin, mereka menyangka pertempuran sudah tamat. Kebanyakan mereka turun untuk mengumpul harta rampasan dan secara tidak langsung telah melanggar perintah Nabi (ﷺ) untuk tidak meninggalkan kedudukan mereka di atas bukit.
Kesan daripada kedegilan ini, membolehkan orang musyrikin yang hampir kalah tadi datang kembali dan berhimpun di sekeliling orang Islam lalu menyerang mereka dari belakang. Tujuh puluh sahabat mati syahid termasuk bapa saudara Rasulullah, Saidina Hamzah Abdul Mutalib di Lembah Bukit Uhud, Madinah, Arab Saudi.

5. Perkuburan Baqi’
Perkuburan Baqi’, terdapat makam Para Ummahatul Mukminin رضي الله عنهن (melainkan Sayyidatina Khadijah & Sayyidatina Maimunah رضي الله عنهما), anak-anak Rasulullah صلى الله عليه وسلم, para ahlul bait, lebih kurang 10 ribu orang sahabat رضي الله عنهم dan para Salafuna As Soleh رضي الله عنهم
Perkuburan ini boleh diziarahi selepas solat pada dua waktu ini, iaitu selepas waktu solat subuh dan selepas waktu solat asar. Hanya jemaah lelaki sahaja yang dibenarkan untuk menziarahi perkuburan Baqi’.
Saat menziarahi “perkampungan” yang mendamaikan ini, bermuhasabahlah sendirian, akan pesanan Rasulullah ﷺ :
فَأَىُّ الْمُؤْمِنِينَ أَكْيَسُ؟ قَالَ : أَكْثَرُهُمْ لِلْمَوْتِ ذِكْرًا
وَأَحْسَنُهُمْ لِمَا بَعْدَهُ اسْتِعْدَادًا أُولَئِكَ الأَكْيَاسُ
“Mukmin manakah yang paling cerdik?
Baginda ﷺ bersabda : “Yang paling banyak mengingati kematian dan yang paling baik dalam mempersiapkan diri untuk alam berikutnya, itulah mereka yang paling cerdik” – Riwayat Al Imam Ibnu Majah.
