Pertama sekali, selamat datang ke bumi Madinah Al-Munawwarah, bumi Nabi Muhammad SAW. Bumi yang penuh dengan keberkatan dan sejarah, di mana setiap sudutnya menyimpan seribu satu kisah yang mengajar dan memberi inspirasi. Sebagaimana sabda Baginda Nabi SAW:
“الْمَدِيْنَةُ خَيْرٌ لَهُمْ لَوْ كَانُوْا يَعْلَمُوْنَ”
Maksudnya: “Kota Madinah ini adalah tempat yang terbaik bagi kamu sekiranya kamu mengetahuinya.”
(HR Muslim)
Madinah juga adalah negeri yang dicintai oleh Rasulullah SAW. setelah Makkah kerana di antaranya, penduduknya telah memberi pertolongan dan tempat bernaung untuk baginda sehingga Baginda mencintai mereka dan mencintai kota ini. Diabadikan doa Baginda SAW atas Madinah dan penduduknya, dalam sebuah hadis dari Aisyah RA beliau bersabda,
اللَّهُمَّ حَبِّبْ إِلَيْنَا الْمَدِينَةَ، كَمَا حَبَّبْتَ إِلَيْنَا مَكَّةَ أَوْ أَشَدَّ
“Ya Allah, jadikanlah Madinah sebagai kota yang kami cintai sebagaimana kami mencintai Makkah atau bahkan lebih dari itu….”
(HR Bukhari & Muslim)
Marilah kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana telah menjemput kita semua, tuan-tuan dan puan-puan, untuk berada di salah satu tempat terbaik di atas muka bumi Allah SWT ini, iaitu di bumi Madinah Al-Munawwarah.

Di Sinilah Semuanya Bermula: Taman Saqifah Bani Saidah
Kini, kita berada di sebuah taman yang kelihatan tenang dan damai, tetapi di sinilah terletaknya satu tapak yang sangat penting dalam lipatan sejarah Islam. Tempat ini dikenali sebagai Saqifah Bani Saidah. Di sinilah berlakunya satu peristiwa besar yang mencorakkan hala tuju umat Islam selepas kewafatan Rasulullah SAW.
Apakah itu Saqifah Bani Saidah dan mengapa ia begitu signifikan? Untuk memahaminya, kita perlu kembali kepada detik-detik akhir kehidupan Baginda Nabi SAW.

Tanda-tanda Perpisahan: Ramadan Terakhir Baginda
Setiap tahun pada bulan Ramadan, Nabi SAW akan beriktikaf di Masjid Nabawi pada 10 malam yang terakhir. Namun, pada tahun ke-10 Hijrah, Baginda melakukan sesuatu yang berbeza. Baginda beriktikaf selama 20 malam yang terakhir.
Begitu juga dengan amalan tadarus Al-Quran bersama Malaikat Jibril AS. Setiap tahun, Jibril akan turun bertemu Baginda untuk bertadarus sebanyak sekali. Tetapi pada tahun terakhir itu, Jibril AS turun dan bertadarus dengan Baginda sebanyak dua kali. Ini adalah antara isyarat-isyarat awal bahawa Ramadan pada tahun itu adalah Ramadan yang terakhir bagi Baginda Nabi SAW.
Haji Pertama dan Terakhir: Hajjatul Wada’
Setelah selesai bulan Ramadan, Nabi SAW mengumpulkan para sahabat dan mengumumkan bahawa pada tahun itu, mereka akan menunaikan ibadah haji. Para sahabat begitu gembira dan teruja kerana inilah peluang mereka untuk menunaikan haji bersama-sama insan yang paling mereka cintai, Rasulullah SAW.
Namun, tanpa mereka sedari, haji ini kelak akan dikenali dalam sejarah sebagai Hajjatul Wada’, iaitu Haji Perpisahan. Ia merupakan haji yang pertama dan juga yang terakhir bagi Baginda Nabi SAW. Ketika menunaikan haji ini, usia Baginda mencecah 62 tahun.
Dalam perjalanan menuju ke Mekah, Nabi SAW memberikan satu lagi petunjuk tentang pemergiannya yang semakin dekat. Sabda Baginda:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ خُذُوا مَنَاسِكَكُمْ، فَإِنِّي لَا أَدْرِي لَعَلِّي لَا أَحُجُّ بَعْدَ عَامِي هَذَا
Maksudnya: “Wahai manusia, ambillah daripadaku manasik-manasik kamu, sesungguhnya aku tidak mengetahui, aku tidak lagi melakukan haji selepas pada tahun ini.”
(HR Muslim)
Kerana terlalu gembira, para sahabat tidak menyedari sepenuhnya makna di sebalik kata-kata Baginda itu. Mereka hanya fokus untuk menimba sebanyak mungkin ilmu dan meneladani setiap perbuatan Baginda.
Semasa di Mekah, ketika Baginda sedang berwukuf di Padang Arafah, turunlah wahyu terakhir yang menyempurnakan agama Islam, iaitu Surah Al-Maidah, ayat 3:
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا
“…Pada hari ini telah Aku sempurnakan agamamu untukmu, dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku bagimu, dan telah Aku redai Islam sebagai agamamu…”
Ketika ayat ini diturunkan, Sayyidina Umar Al-Khattab RA menangis teresak-esak sehingga basah janggutnya. Beliau berkata, “Kalau agama sudah sempurna, ini bermakna kita akan mengalami kekurangan sesuatu.” Beliau memahami bahawa tugas Rasulullah SAW telah selesai dan tidak lama lagi, Baginda akan dijemput pulang oleh Allah SWT.
Detik-Detik Sakit dan Wasiat Terakhir
Setelah selesai menunaikan haji, Baginda dan para sahabat kembali ke Madinah. Tidak lama kemudian, Nabi SAW mula jatuh sakit. Kesakitan Baginda bertambah dari hari ke hari. Walaupun dalam keadaan uzur, Baginda tetap menjadi imam solat sehinggalah pada hari Khamis, 8 Rabiulawal tahun ke-11 Hijrah.
Pada hari itu, selepas solat Maghrib, kesakitan Baginda menjadi sangat teruk. Apabila tiba waktu Isyak, para sahabat menanti-nanti kehadiran Baginda untuk menjadi imam, tetapi Baginda tidak mampu keluar. Lalu, Baginda memerintahkan, “Muru Aba Bakrin lil imamatis solah” (Perintahkan Abu Bakar untuk menjadi imam solat).
Inilah kali pertama Abu Bakar As-Siddiq RA menjadi imam di hadapan Rasulullah SAW. Sejak itu, Abu Bakar menggantikan tempat Baginda sebagai imam solat.
Pada hari Sabtu, 10 Rabiulawal, ketika solat Zohor, Nabi SAW dengan dipapah oleh Sayyidina Ali bin Abi Talib RA, keluar dari rumahnya dan solat di sebelah Abu Bakar sebagai makmum. Melihat keadaan Baginda yang uzur tetapi tetap ingin berjemaah, para sahabat tidak dapat menahan sebak. Selesai solat, Masjid Nabawi bergema dengan takbir dan tangisan, “Nabi dah sembuh! Nabi dah sembuh!”
Mereka menyangka Baginda telah sihat, tetapi sebenarnya Baginda keluar untuk menyampaikan khutbah dan wasiatnya yang terakhir. Antara pesanan penting Baginda ialah:
لاَ تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ قُبُورًا وَلاَ تَجْعَلُوا قَبْرِي عِيدًاوَصَلُّوا عَلَىَّ فَإِنَّ صَلاَتَكُمْ تَبْلُغُنِي حَيْثُ كُنْتُمْ
“Janganlah kalian jadikan rumah-rumah kalian seperti kubur-kubur dan janganlah kalian jadikan kuburku sebagai tempat perayaan, tetapi berselawatlah kepadaku kerana sesungguhnya selawat kalian pasti akan sampai kepadaku dari mana pun kalian berada.”
(Sunan Abu Daud)Hadis ini juga menjadi isyarat bahawa kubur bukanlah tempat ibadah. Kerana itulah Nabi s.a.w. mengumpamakan rumah yang tidak dihidupkan dengan amal ibadah seperti kubur.
Wafatnya Kekasih Allah
Pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun ke-11 Hijrah, pada waktu Dhuha, Malaikat Maut datang untuk mencabut nyawa Baginda. Dalam kesakitan sakaratulmaut, Baginda sempat berpesan, “As-Solah, As-Solah” (Jagalah solat, jagalah solat), sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir di pangkuan isteri tercinta, Sayyidatina Aisyah RA.
Berita kewafatan Baginda mengejutkan seluruh Madinah. Sayyidina Umar Al-Khattab RA, kerana terlalu sedih dan tidak dapat menerima hakikat, menghunus pedangnya dan berkata, “Siapa kata Muhammad dah mati, aku akan penggal kepalanya!”
Umat Islam menjadi keliru dan berpecah kepada tiga golongan:
- Mereka yang percaya Nabi SAW telah wafat.
- Mereka yang tidak percaya Nabi SAW telah wafat.
- Mereka yang hanya mampu menangis dan tidak tahu apa yang harus dilakukan.
Perlantikan Khalifah Pertama di Saqifah Bani Saidah
Dalam keadaan genting inilah, kaum Ansar (penduduk asal Madinah) berkumpul di Saqifah Bani Saidah untuk bermesyuarat tentang siapa yang bakal memimpin umat Islam selepas ini. Mereka hampir melantik pemimpin dari kalangan mereka sendiri.
Mendengar berita ini, Abu Bakar As-Siddiq RA, Umar Al-Khattab RA, dan beberapa sahabat Muhajirin bergegas ke sini. Setelah perbincangan yang mendalam, akhirnya kaum Ansar bersetuju untuk memberi baiah (sumpah setia) kepada Abu Bakar As-Siddiq RA sebagai khalifah pertama. Keesokan harinya, di Masjid Nabawi, seluruh kaum Muhajirin, termasuk Sayyidina Ali bin Abi Talib RA, turut memberikan baiah kepada Abu Bakar.
Di sinilah, di taman yang tenang ini, perpaduan umat Islam diselamatkan dan kepimpinan Islam diteruskan. Di sinilah lahirnya sistem khilafah yang menjadi tonggak kekuatan umat Islam untuk beratus-ratus tahun selepasnya.
Semoga dengan menziarahi tempat bersejarah ini, kita dapat mengambil iktibar tentang pengorbanan, kebijaksanaan, dan semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh para sahabat dalam menghadapi saat-saat yang paling mencabar dalam sejarah Islam. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.
Rancang Perjalanan Ibadah Tanpa Ragu – Ragu !
Bayangkan anda melangkah keluar dari hotel terus ke Masjidil Haram—semuanya mudah dengan pakej umrah safwah dari Mustaqim Travel. Kami menyediakan:
✈️ Penerbangan terus tanpa transit ke Tanah Suci.
📚 Modul bimbingan khas bersama Mutawwif berpengalaman.
🏨 Penginapan Safwah premium berhampiran Masjidil Haram.
🚑 Kad perubatan untuk akses kesihatan yang lebih selesa.
🌟 Harga berbaloi untuk pengalaman yang tak ternilai.
Jangan lepaskan peluang untuk jadikan Umrah anda pengalaman terbaik! Klik di sini dan tempah tempat anda sekarang. ✨ Rebut promosi istimewa sebelum penuh!