Hari Arafah adalah salah satu hari yang paling mulia dalam kalendar Islam. Ia jatuh pada 9 Zulhijjah, sehari sebelum Hari Raya Aidiladha, dan merupakan hari di mana jemaah haji berkumpul di Padang Arafah untuk melaksanakan salah satu rukun utama haji.
Dalam artikel ini, kita akan mengupas mengenai kelebihan Hari Arafah, amalan yang digalakkan pada hari ini, serta kepentingannya dalam kehidupan seorang Muslim.
Sejarah dan Kepentingan Hari Arafah
Hari Arafah adalah satu hari yang menyimpan sejarah yang sangat mendalam. Pada hari ini, Nabi Muhammad SAW berdiri di tengah-tengah ribuan jemaah haji di Padang Arafah semasa Haji Wida’, haji terakhir Baginda sebelum kembali kepada Allah SWT.
Baginda tahu, saat itu adalah peluang terakhir untuk menyampaikan pesanan-pesanan penting kepada umatnya. Dengan suara penuh kasih sayang dan tanggungjawab, Nabi SAW berkhutbah kepada umat Islam, memberi peringatan dan panduan yang terus hidup dalam hati kita hingga hari ini.
Khutbah ini menyentuh pelbagai aspek kehidupan, termasuk hak asasi manusia, persaudaraan, keadilan sosial, dan kepatuhan kepada Allah SWT.
Dalam khutbah tersebut, Nabi SAW menegaskan:
- Persamaan Semua Manusia: Baginda menekankan bahawa semua manusia adalah sama, tanpa mengira bangsa, warna kulit, atau kedudukan sosial. Yang membezakan seseorang hanyalah tahap ketaqwaannya kepada Allah SWT.
- Hak-Hak Wanita: Nabi SAW mengingatkan umat Islam agar menghormati dan menjaga hak-hak wanita, satu pesanan yang sangat relevan sehingga hari ini.
- Larangan Riba: Baginda mengisytiharkan pengharaman riba secara mutlak, menekankan keperluan sistem ekonomi yang adil dan berlandaskan syariat.
- Amanah dalam Kehidupan: Nabi SAW menekankan pentingnya menunaikan amanah dan tanggungjawab, sama ada terhadap Allah, sesama manusia, atau terhadap alam sekitar.
- Al-Quran dan Sunnah sebagai Panduan: Baginda menekankan bahawa sesiapa yang berpegang teguh kepada ajaran Al-Quran dan Sunnah tidak akan sesat selama-lamanya.
Bayangkan suasana di Padang Arafah ketika itu. Ribuan manusia berkumpul, ada yang menangis, ada yang termenung, semuanya khusyuk mendengar pesanan Nabi SAW. Baginda menyentuh isu-isu besar seperti keadilan, persaudaraan, dan pentingnya menghormati wanita.
Ketika Nabi SAW berkata bahawa Baginda telah menyempurnakan amanah Allah, ramai sahabat tidak dapat menahan air mata. Mereka sedar, ini mungkin kali terakhir mereka melihat insan yang mereka cintai lebih daripada diri mereka sendiri.
“….Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku redai Islam itu menjadi agamamu.“
(Surah Al-Ma’idah, 5:3)
Ayat ini menandakan kesempurnaan Islam sebagai panduan hidup. Tetapi ia juga membawa kesedihan, kerana ia memberi isyarat bahawa tugas Nabi SAW hampir selesai.
Para sahabat menangis, bukan sahaja kerana mereka merasa kehilangan, tetapi juga kerana mereka memahami betapa besar nikmat Islam yang telah Allah kurniakan.
Padang Arafah, dengan langitnya yang luas dan tanahnya yang suci, menjadi saksi kepada salah satu momen terpenting dalam sejarah Islam. Sehingga hari ini, ia kekal sebagai simbol keikhlasan, pengampunan, dan penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah SWT.
Hari Arafah mengingatkan kita bahawa hidup ini adalah perjalanan kembali kepada Allah, dan setiap kita diberi peluang untuk memperbaiki diri sebelum saat itu tiba.
Hukum Berpuasa Pada Hari Arafah
Umat Islam digalakkan untuk berpuasa pada Hari Arafah, iaitu pada 9 Zulhijjah, bagi merebut ganjaran besar yang dijanjikan oleh Allah SWT dan mendapat pengampunan dosa setahun sebelum dan selepasnya.
Menurut hadis riwayat Abu Qatadah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Oleh itu, bagi umat Islam yang tidak melakukan ibadah Haji, adalah disunnahkan ( Sunnah Muakkad ) untuk berpuasa pada Hari Arafah. Ketumaannya sangat besar kerana berpuasa pada hari Arafah menjadi sebab pengampunan dosa.
Hukum Bagi Jemaah Haji:
Bagi mereka yang sedang menunaikan ibadah haji, tidak disunatkan berpuasa pada Hari Arafah. Hal ini kerana puasa boleh melemahkan mereka ketika melakukan wukuf di Arafah, yang merupakan rukun haji.
Rasulullah SAW sendiri tidak berpuasa pada hari tersebut ketika berhaji, sebagaimana disebutkan dalam hadis:
“Nabi SAW tidak berpuasa pada Hari Arafah ketika berada di Arafah.”
(Hadis Riwayat Bukhari, no. 1988)
Baca juga : Perbezaan Haji Mujamalah vs Haji Biasa
Keistimewaan Hari Arafah
1. Sebahagian Daripada Rukun Haji
Dr. Muhammad al-Zuhaili menegaskan bahawa wuquf di Arafah adalah rukun haji yang paling utama, seolah-olah keseluruhan ibadah haji itu bergantung padanya. Hal ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW, sebagaimana diriwayatkan oleh ‘Abd al-Rahman bin Ya‘mur al-Diyali:
“Haji itu adalah Arafah. Sesiapa yang berada di Arafah pada malam Hari Nahr sebelum terbit fajar, maka dia telah menunaikan hajinya.”
(Riwayat al-Tirmizi)
Hari yang mulia ini bukan hanya penting bagi jemaah haji, tetapi juga bagi umat Islam di seluruh dunia.
Ia adalah hari untuk kita bertaubat, menadah doa dengan penuh keyakinan, dan meraih keampunan yang dijanjikan Allah SWT.
Betapa agungnya hari ini, ia menjadi lambang kasih sayang Allah yang tidak pernah bertepi.
2. Hari Penyempurnaan Agama
Menurut Al-Sa‘di dalam tafsirnya tentang ayat 3 Surah al-Ma’idah, hari yang dimaksudkan dalam ayat tersebut merujuk kepada Hari Arafah.
“….Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku redai Islam itu menjadi agamamu.“
(Surah Al-Ma’idah, 5:3)
Allah SWT telah menyempurnakan agama-Nya sebagai nikmat terbesar buat umat Islam. Ia juga menjadi tanda kemenangan yang gemilang, apabila Allah memberikan pertolongan kepada Rasul-Nya dan mengalahkan kaum musyrikin dengan kekalahan yang memalukan.
Segala usaha musyrikin untuk memalingkan hati orang beriman dari jalan kebenaran berakhir dengan kehancuran. Hari itu menjadi saksi keagungan Islam yang sempurna, tiada lagi yang perlu ditambah atau diubah.
Ia adalah hari di mana janji Allah ditepati dan agama ini berdiri megah sebagai rahmat bagi seluruh alam.
3. Hari Raya Bagi Umat Islam
Hari Arafah adalah hari raya penuh keberkatan bagi umat Islam, sebagaimana disabdakan oleh Rasulullah SAW:
“Hari Arafah, hari Nahr, dan hari-hari Tasyriq (11, 12, dan 13 Zulhijjah) ialah hari raya kita orang Islam, dan ia adalah hari makan dan minum.”
(Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi, dan al-Nasa’i)
Bagi menikmati hari yang penuh barakah ini, umat islam yang menunaikan ibadah Haji juga tidak disyariatkan untuk berpuasa.
Hal ini mengajarkan bahawa Hari Arafah bagi jemaah haji adalah hari perayaan, tempat berhimpun terbesar, dan saat untuk memberi perhatian sepenuhnya dalam beribadah, bukan waktu untuk berpuasa.
Ia menjadi simbol kasih sayang Allah SWT kepada umat-Nya, mengingatkan kita bahawa di sebalik setiap perintah-Nya tersirat kemudahan dan rahmat.
4. Hari Penyaksian bagi umat Islam.
Hari Arafah juga dikenali sebagai Hari Penyaksian, di mana Allah SWT menjadi saksi kepada amalan hamba-Nya yang beribadah dan berdoa dengan penuh keikhlasan.
Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA menyatakan:
“Hari yang dijanjikan adalah hari Kiamat, hari al-Mashhud adalah Hari Arafah serta al-Syahid adalah hari Jumaat.”
(Riwayat al-Tirmizi, no. 3262)
Hadis ini menerangkan tiga jenis hari yang memiliki keutamaan besar:
1. Hari yang dijanjikan (al-Maw’ud): Merujuk kepada Hari Kiamat, hari yang penuh dengan keadilan dan pembalasan untuk setiap amal manusia.
2. Hari al-Mashhud (Hari Penyaksian): Merujuk kepada Hari Arafah, di mana Allah SWT menyaksikan keikhlasan dan kesungguhan hamba-hamba-Nya yang berdoa serta beribadah pada hari itu. Hari ini juga merupakan hari terbaik untuk berzikir, bertafakur, dan memohon keampunan.
3. Hari al-Syahid (Hari Penyaksian): Merujuk kepada Hari Jumaat, yang merupakan penghulu segala hari dalam Islam.
5. Kebesaran Berdoa Pada Hari Arafah
Hari Arafah adalah hari yang diberkati, di mana doa menjadi sangat mustajab dan dihargai oleh Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda:
“Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah.”
(Riwayat al-Tirmizi, no. 3509)
Hadis ini mengingatkan kita betapa istimewanya doa pada Hari Arafah.
Pada hari yang penuh keberkatan ini, Allah SWT membuka pintu-pintu langit seluas-luasnya, memberi peluang kepada setiap hamba-Nya untuk meluahkan segala isi hati, memohon kebaikan di dunia dan akhirat, serta merayu keampunan atas dosa-dosa yang lalu.
Ia adalah saat di mana seorang hamba dapat merasai kedekatan dengan Tuhannya, dalam linangan air mata penyesalan dan harapan, meyakini bahawa Allah Maha Mendengar dan Maha Mengabulkan doa.
6. Puasa pada Hari Arafah Menghapuskan Dosa Setahun Sebelum dan Selepas
Hari Arafah adalah hadiah kasih sayang Allah kepada hamba-hamba-Nya yang penuh dosa, tetapi masih dirindui untuk kembali kepada-Nya.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:
“Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang.”
(Riwayat Muslim, no. 1977)
Hanya dengan menahan diri daripada makan dan minum selama beberapa jam, Allah SWT membuka ruang seluas-luasnya untuk mengampunkan dosa kita—dosa yang telah terkumpul sepanjang setahun yang lalu, bahkan dosa yang mungkin akan kita ulangi di masa hadapan.
Betapa besar kasih sayang Allah kepada kita, walaupun kita sering alpa, lalai, dan tidak menghargai segala nikmat-Nya.
Hari Arafah bukan sekadar hari biasa; ia adalah saat di mana Allah menunjukkan betapa Dia ingin hamba-Nya kembali, membawa taubat dan pengharapan.
7. Hari Keampunan dan Pelepasan dari Api Neraka
Hari Arafah adalah hari yang penuh rahmat, di mana Allah SWT menunjukkan kasih sayang-Nya yang tiada bandingan.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak ada satu hari yang lebih banyak dibebaskan hamba-Nya daripada api neraka melainkan pada hari Arafah.”
(Riwayat Muslim, no. 2402)
Bayangkan, walaupun kita sering lalai, dosa-dosa kita menggunung, dan amalan kita tidak seberapa, Allah SWT tetap memandang kita dengan penuh kasih. Pada Hari ini, Allah tidak mencari kesempurnaan amalan, tetapi Dia menanti hati yang tulus, yang datang kepada-Nya dengan air mata penyesalan dan harapan yang mendalam.
Haji Perjalanan Teragung
Tahukah anda tentang Haji Mujamalah? Ini adalah peluang eksklusif untuk menunaikan haji tanpa perlu menunggu giliran bertahun-tahun!
Dengan visa mujamalah, anda boleh segera melangkah ke tanah suci, menyahut panggilan Allah SWT dengan hati penuh keinsafan dan kerinduan.
📞 Jangan tunggu lagi! Hubungi kami sekarang untuk maklumat lanjut tentang pakej Haji Mujamalah dan mulakan perjalanan ke arah haji mabrur.